CITP Memperkasakan Industri Pembinaan Kelantan

KELANTAN, 9 May 2017: Dalam usaha memacu transformasi industri pembinaan di Kelantan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan seminar Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) buat julung kalinya di negeri Kelantan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan CIDB untuk berinteraksi dengan penggiat industri Kelantan bagi meningkatkan kesedaran dalam mengamalkan amalan-amalan baik dan melaksanakan inisiatif-inisiatif berkaitan CITP.

Seminar tersebut telah dihadiri oleh penggiat industri pembinaan di Kelantan untuk mengukuhkan lagi komitmen mereka di dalam bidang pembinaan dan secara langsung dapat merealisasikan aspirasi Kerajaan Persekutuan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) ke arah industri yang lebih moden, produktif dan mampan, seiring dengan perkembangan teknologi dan ilmu baru, serta mampu meningkatkan keupayaan industri untuk bersaing di peringkat global.

Industri pembinaan kekal memainkan peranan yang penting sebagai tonggak utama dalam transformasi landskap ekonomi negeri Kelantan. Pada tahun 2016, sejumlah 114 projek pembinaan bernilai RM1.5 bilion telah dan sedang dilaksanakan di Kelantan. Daripada jumlah tersebut, 27.1 peratus merupakan projek infrastruktur, 26.9 peratus adalah projek perumahan, 9.3 peratus adalah projek kemudahan sosial, manakala 57.6 peratus lagi adalah projek-projek bangunan bukan perumahan.

Dari segi modal insan, sektor pembinaan menggunakan kira-kira 15 peratus pengeluaran pembuatan negara dan menyumbang 9.5 peratus tenaga kerja dengan sejumlah 1.2 juta pekerja berdaftar. Mengikut statistik rasmi, 75 peratus adalah warga tempatan termasuk ahli profesional seperti jurutera, arkitek dan juruukur, menunjukkan sektor tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keseluruhan tahap pendapatan rakyat.

Sejak CITP dilancarkan pada 2015, usaha-usaha CIDB telah membuahkan hasil apabila lebih daripada 320 organisasi menyatakan sokongan untuk merealisasikan CITP dan menyenaraikan inisiatif-inisiatif khusus untuk transformasi yang akan dilaksanakan masing-masing berdasarkan empat teras strategik CITP, iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme, Kelestarian Alam Sekitar, Produktiviti dan Pengantarabangsaan, bersama 20 inisiatif yang dikenal pasti untuk menangani cabaran khusus dalam industri pembinaan.

Momentum turut diteruskan pada 2016 dengan sokongan 20 pemaju utama daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA), 6 pemaju di Cyberjaya dan 107 organisasi di Malaysia Timur merangkumi Sabah dan Sarawak.

“Yang penting, sektor pembinaan adalah satu sektor utama di Malaysia yang menjadi pemangkin pembangunan lebih daripada 120 jenis industri. Industri pembinaan yang berkebolehan, berkualiti tinggi dan efisien adalah penting untuk menarik pelaburan. Dalam tahun 2016 sahaja, terdapat sejumlah 6,305 projek pembinaan dengan nilai sebanyak RM166.4 bilion di Malaysia dan ini sekali lagi, mencerminkan magnitud dan impak sektor pembinaan dalam negara. Oleh itu, kena pada masanya untuk kami menggerakkan para penggiat industri di Kelantan pula supaya menerima pakai CITP dan meningkatkan standard industri pembinaan,” ujar Puan Sariah Abdul Karib, Pengurus Besar Kanan, Sektor Korporat dan Bisnes CIDB.

“Negeri Kelantan sedang membangun dengan pesat hasil kesungguhan Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi seperti pembangunan Pelabuhan Tok Bali, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Oleh itu, kami gembira melihat para penggerak industri di Kelantan menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan CIDB dalam usaha mentransformasi industri pembinaan negara. Diharap pendedahan yang diperolehi pada hari ini mampu mengajak mereka untuk turut sama mengubah aktiviti dan proses bisnes berpaksikan standard dalam CITP ke arah meningkatkan status dan prestasi industri pembinaan Malaysia,” tambah beliau lagi.

CITP yang dilancarkan pada 10 September 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan agenda nasional bagi mentransformasikan industri pembinaan menjadi moden, berproduktiviti tinggi dan mampan. Ia adalah sebahagian penting daripada Rancangan Malaysia Ke-11 yang menyokong Agenda Transformasi Nasional untuk menjadi Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Setakat 2016, daripada 96 KPI yang digariskan bawah CITP, 62 telah melebihi sasaran 90 peratus atau lebih dari itu, manakala 25 KPI telah mencapai 61 peratus hingga 89 peratus. Pada keseluruhannya, CIDB berada di landasan yang tepat untuk mentransformasi industri pembinaan Malaysia menjelang 2020 melalui pelaksanaan CITP yang telah berjaya membina momentum dan menerap perubahan dalam industri pembinaan.

“Di CIDB, kami akan meneruskan kolaborasi dengan rakan strategik daripada sektor awam dan swasta untuk mempercepatkan transformasi industri pembinaan seperti yang digariskan di bawah CITP. Melalui kerjasama yang terjalin ini, kita berupaya untuk membangun sektor pembinaan yang dapat menyampaikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dalam persekitaran yang selamat dan mampan. Inilah yang akan membantu sektor pembinaan menjadi antara penyumbang utama kepada transformasi sosio-ekonomi negara,” kata Puan Sariah.

Mengenai CIDB
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada profesionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.