69 Organisasi Tandatangani Akujanji CITP

KOTA KINABALU, 5 September 2016: Penggiat industri pembinaan serta agensi yang berkaitan di negeri Sabah menyatakan sokongan padu terhadap pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dengan menandatangani Akujanji CITP pada hari ini.

Sebanyak 69 organisasi telah menandatangani Akujanji di hadapan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, sempena Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Menandatangani Akujanji CITP di peringkat negeri Sabah.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah, Dato’ Shaharom Nizam Abd Manap merupakan antara agensi penting di Sabah yang menandatangani Akujanji tersebut.
Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman berkata kerajaan negeri Sabah memberi sokongan tinggi dalam pelaksanaan CITP dan akan memberi kerjasama kepada CIDB agar matlamat CITP tercapai.

“Oleh itu, saya ingin menggesa supaya lebih banyak lagi syarikat pembinaan dan agensi-agensi yang terlibat dengan pembangunan negeri Sabah untuk tampil memberi sokongan dan bersama-sama melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah CITP,” katanya Akujanji yang ditandatangani hari ini menjadikan 233 jumlah Aku Janji CITP yang telah ditandatangani setakat ini di seluruh negara.

CITP adalah pelan pelaksanaan komprehesif industri pembinaan yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), bermatlamat untuk mewujudkan pembinaan industri yang berterusan di negara ini sekaligus mampu bersaing di arena antarabangsa.

Terdapat 19 inisiatif daripada empat teras strategik utama CITP telah diperkenalkan untuk tempoh lima tahun terakhir sebelum negara melangkah ke tahun 2020 iaitu;

1. Kualiti Keselamatan dan Profesionalisme (QSP);
2. Kemapanan Alam Sekitar;
3. Produktiviti;
4. Pengantarabangsaan.

Di dalam Majlis yang sama, Musa Aman turut menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik kepada 10 orang bekas Pelatih Akademi Binaan Malaysia Sabah yang menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa latihan dan juga di dalam kerjaya yang diceburi. Beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Marinsun bin Lanun, Pemenang Pingat Emas di dalam bidang Wall & Floor Tiles, Pertandingan WorldSkills Malaysia.

Pada majlis tersebut, seramai 150 bekas pelatih ABM yang telah tamat latihan menerima sijil kemahiran masing-masing dalam bidang berimpak tinggi termasuk operasi jentera, pengimpalan dan “blasting and painting.”
Tujuan penubuhan Akademi Binaan Malaysia (ABM) adalah untuk melahirkan pekerja mahir dalam industri pembinaan. Sejak tahun 2010, sehingga kini enam (6) cawangan ABM di seluruh negara telah melatih seramai 253,247 belia dan pekerja mahir di dalam industri pembinaan. Di ABM Wilayah Sabah, sehingga kini jumlah belia dan pekerja binaan yang telah dilatih adalah seramai 57,430 orang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Pengerusi CIDB Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid.

Mengenai CIDB
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabilitiindustri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.