Wartawan Daily Express ungguli Anugerah Media CIDB Sabah

 

Mary Chin menerima Anugerah Media Pembinaan (AMP) 2017

 

KOTA KINABALU: Empat wartawan Daily Express merangkul Anugerah Media Pembinaan (AMP) CIDB bagi negeri Sabah dalam satu majlis yang diadakan pada November 10, 2017.

 

Leonard Govin Alaza dan Mary Chin dinobatkan pemenang kategori pertama media cetak AMP 2017 menerusi laporan ‘The role of CIDB and KYTS in Sabah’. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

 

Dua lagi wartawan Daily Express, Jason Edgar Delos dan Kan Yau Cheong, pula masing masing meraih saguhati berupa wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi. Jason menerusi laporan ‘CIDB questions standard of raw materials’ dan Kan menerusi artikelnya ‘Mysterious face of Sukau Bridge unveiled’.

 

Pemenang kategori utama Mary Chin ketika dihubungi berkata beliau tidak menyangka akan mendapat tempat pertama kerana ramai wartawan yang berkaliber turut serta didalam majlis media itu.

 

“Kemenangan ini satu kejutan bagi saya kerana bukan mudah untuk seseorang itu menang. Ramai wartawan di luar sana yang begitu bagus. Saya cuma menjalankan tugas saya sebaik mungkin,” ujar Mary Chin.

 

Turut berkongsi gembira adalah Jason Edgar. Menurut Jason, beliau sendiri tidak ingat bila artikel itu ditulis dan menganggap kemenangan itu adalah satu ‘nasib’ yang baik.

 

“Saya tidak tahu saya menang. Saya sendiri tidak ingat bila saya menulis artikel tersebut. Mungkin nasib saya yang baik,” Jason berkata.

 

Pemenang hadiah saguhati Kan pula berkata bahawa beliau terkejut apabila diberitahu bahawa beliau adalah salah seorang pemenang anugerah AMP.

 

“Saya berasa sungguh terkejut apabila saya dihubungi oleh Malaysian Press Institute. Saya tidak menghantar apa-apa kepada MPI untuk menyertai majlis media CIDB lalu saya berasa sungguh terkejut sewaktu diberitahu saya adalah pemenangnya.”

 

“Saya begitu seronok kerana itu adalah satu penghargaan bagi saya. Terima kasih kepada mereka yang mencalonkan saya. Artikel itu ditulis kerana saya begitu sayangkan flora dan fauna di negeri Sabah. Tahniah untuk dua sahabat saya juga yang memenangi tempat pertama,” kata Kan.

 

Untuk kategori Anugerah Media Penyiaran Elektronik dan Video Portal pula, tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Penyiaran Sabah dengan laporan khas mereka ‘Jalan Montenior Beaufort’ yang membolehkan mereka memenangi RM3,000 berserta sijil penghargaan dan trofi.

 

Tiada pemenang untuk tempat pertama dalam kategori ini.

 

Hadiah saguhati dimenangi oleh RTM Sabah dengan laporan mereka ‘Pembinaan tangki pemendapan air bersih’. Mereka membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi.

 

Untuk kategori fotografi tiada sebarang pemenang.

 

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia. Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata peranan media adalah sangat penting dalam memberi pemahaman kepada publik terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP).

 

“Oleh yang demikian, semua wartawan dan jurufoto dialu-alukan untuk menghantar lebih banyak karya berkaitan industri pembinaan untuk dicalonkan dalam AMP 2018,” tambahnya.

 

Kesemua hadiah AMP 2017 disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof sempena Malam Penghargaan Media KKR bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan semua pengamal media di Negeri Bawah Bayu itu.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, AMP telah menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pengamal media seluruh negara. Untuk tahun 2017, AMP yang mendapat kerjasama KKR dan Malaysian Press Institute (MPI) menerima penyertaan sebanyak 209 penyertaan daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membabitkan media cetak, elektronik dan online.

 

[14 November 2017]