Skillspower strategi tambah tenaga kerja sektor pembinaan

Sintok: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, bersama dengan pusat penilaian dan bahagian latihannya, Akademi Binaan Malaysia (ABM), melancarkan kempen #SKILLSPOWER sebagai sebahagian daripada strategi untuk menambah bilangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan pada 19 Mei 2017.

Dengan membawakan tema ‘Kompeten dan Holistik’, #SKILLSPOWER bertunjang menarik minat anak-anak muda Malaysia menyertai sektor pembinaan dengan meningkatkan profil industri ini sebagai pilihan kerjaya yang berpendapatan tinggi, mapan dan bermakna.

Pelancaran #SKILLSPOWER telah diadakan sempenan Majlis Graduasi ABM Wilayah Utara yang ke-8 yang menyaksikan seramai 100 orang pekerja sektor pembinaan menamatkan Program Latihan Kecekapan industri Pembinaan (CICTP) mereka.

Turut hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-badan Pendidikan Bukan Kerajaan (NGO) mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Sri Zohari Akob yang mewakili Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata telah melihat ramai rakyat Malaysia tidak memandang sektor pembinaan sebagai laluan ke arah kejayaan dalam kerjaya.

“Sebagai orang orang lama dalam industri pembinaan, saya menyeru anak-anak muda kita untuk menyertai sektor ini kerana ia bukan sahaja menyediakan kerjaya yang stabil dengan ganjaran tinggi malah memberi peluang kepada kita untuk mengambil bahagian dalam pembinaan negara.”

“Sektor pembinaan sebenarnya telah lama berkembang secara konsisten dan memberi sumbangan besar kepada transformasi sosioekonomi Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun 2016, sektor pembinaan negara telah berkembang pada kadar 7.4 peratus untuk membuktikan potensi pertumbuhannya.

“Kerajaan juga komited untuk meningkatkan lagi bilangan tenaga kerja mahir dalam sektor ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk membangun dan mentransformsi industri.”

“Sejak 2015, Akta Lembaga Pembangunan Industri (Akta 520) telah mewajibkan kesemua penyelia tapak pembinaan dan pekerja binaan mahir di dalam tred yang berkaitan di akreditasi bagi memastikan pekerja industri pembinaan kita kompeten, produktif dan bermutu tinggi,” katanya.

Sejak ditubuhkan oleh CIDB Malaysia pada 2010, ABM telah melatih seramai 205,710 pekerja pembinaan d bawah program CICTP.

165,950 daripadanya adalah untuk program peningkatan kemahiran manakala 39,760 orang pula adalah belia yang menyertai sektor pembinaan.

Seramai 34,256 pelatih telah menamatkan program yang ditawarkan di kampus ABM Wilayah Utara. 6,447 daripada mereka merupakan belia lepasan sekolah menengah atau kolej vokasional, dan 27,818 Pula terdiri daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor pembinaan.

Bagi memastikan pelatih didedahkan kepada pengalaman industri yang diperlukan selepas menamatkan program CICTP di ABM, CIDB Malaysia telah menjalinkan perjalanan dengan para peserta industri untuk menempatkan graduan bagi meneruskan kerjaya mereka.

Sejak 2016, lebih 600 graduan telah mendapat peluang kerjaya dengan rakan-rakan industri.

Selain itu, 59 rakan industri telah terlibat dalam dialog dengan ABM bagi memastikan program-program yang ditawarkan di pusat latihan adalah sesuai dan relevan dengan keperluan semasa industri.

Sementara itu, Suhaimi Mohd Saad, 28 berkata amat bertuah kerana dapat menimba ilmu di ABM untuk kursus mobile crane.

“Banyak yang saya pelajari sepanjang dua bulan di ABM kerana daripada tidak kosong sehinggalah menjadi seorang yang pakar dalam bidang ini.”

“Saya tidak menyesal mengikuti kursus di ABM kerana percaya dengan ilmu kemahiran yang ada dapat menjana pendapatan yang lumayan,” katanya.

Manakala Mohd Zahid Mohd Sakeri, 22 berkata sangat berpuas hati dengan ilmu kimpalan yang dipelajari di ABM.

“Pada mulanya saya tidak ada arah tujuan untuk sambung pelajaran dalam bidang kemahiran tetapi saya mencabar diri untuk menjadi orang yang berjaya membantu keluarga.”

“Alhamdulillah pada akhirnya saya berjaya menjadi palajar yang cemerlang dalam kemahiran kimpalan trend 3J dan 6G,” katanya.

Akhir sekali, Mohd Yuzri Azhan Md Yusoff, 32 berkata memulakan perjalanan kerjaya sebaik sahaja selesai tamat pengajian persekolahan.

“Jadikan kemahiran yang dipelajari untuk memperkasakan industri pembinaan di Malaysia dan tidak mengharapkan kepada tenaga kerja warga asing,” katanya.