Kontraktor KL Eco City Link Bridge didakwa di mahkamah

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mendakwa kontraktor projek jejantas pejalan kaki KL Eco City Link Bridge di Mahkamah Sesyen pada 22 Mei di atas kejadian jejantas runtuh pada 30 November tahun lepas.

Kejadian tersebut telah menyebabkan kematian kepada seorang pekerja binaan selain kecederaan kepada lima pekerja.

Pendakwaan ke atas Tuck Sin Engineering & Construction Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu adalah mengikut peruntukan Seksyen 34B (1) (C) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Pendakwa CIDB Malaysia, Abdul Razak Husin, tindakan undang-undang diambil kerana kontraktor berkenaan telah didapati gagal dalam memastikan keselamatan di tapak bina seperti mana yang termaktub dalam Akta 520 (Pindaan 2011).

“Sebab itu kita mendakwa mereka. Walau bagaimanapun, kontraktor berkenaan minta dibicarakan dan kes ini akan disebut semula pada 31 Mei 2017,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, Tuck Sin Engineering & Construction Sdn Bhd yang merupakan kontraktor utama projek tersebut boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Di dalam insiden itu, sebuah jejantas pejalan kaki yang sedang dibina untuk menghubungkan aras 1 blok perniagaan 4 tingkat ke paras Jalan Lingkaran Syed Putra berdekatan sebuah pasaraya di Midvalley runtuh dengan tiba-tiba hingga menyebabkan seorang daripada pekerja binaannya maut dan lima lagi cedera.

*Pix courtesy of Bernama