Ke arah meningkatkan kualiti dan keselamatan dalam pembinaan

Perasmian ICW 2017

 

ICW2017: Ke arah meningkatkan kualiti dan keselamatan dalam pembinaan

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia telah menganjurkan acara pembinaan yang terbesar di Malaysia, Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2017) yang berlangsung pada 10 -14 April, 2017 dan Ecobuild Asia Tenggara dari 12-14 April, 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ICW – atau International Construction Week – yang memasuki tahun ke-17 ini merupakan platform utama industri pembinaan di rantau Asia Tenggara. Ia berjaya menarik ribuan pengunjung dan lebih 100 pempamer dalam dan luar negara mempamerkan teknologi terkini berkaitan kualiti dan keselamatan dalam pembinaan.

Sementara Ecobuild dengan pameran komprehensif penyelesaian dan produk pembinaan terkini dianjurkan oleh UBM Malaysia berdasarkan Ecobuild UK.

Bagi menarik lebih ramai golongan belia meminati kerjaya dalam bidang pembinaan pula, CIDB pada masa yang sama mengadakan pameran kerjaya atau Career Fair yang memasuki tahun ketiga pada tahun ini dengan pelbagai aktiviti termasuk temuduga kerja, pertandingan online games, pengendalian simulator dan peluang latihan dalam pelbagai tred pembinaan.

Tema ICW 2017 adalah “Ke Arah Meningkatkan Kualiti Dan Keselamatan Dalam Pembinaan” yang menghimpunkan pakar-pakar industri dan korporat untuk berkongsi pengalaman dan mengenali teknologi terkini dalam pembinaan bangunan dan infrastruktur dengan lebih selamat dan berkualiti.

Tema ini selaras dengan teras strategik pertama Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) iaitu ‘Kualiti, Keselamatan dan Profesionalime’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran ICW kali ke-15, 11 September, 2015.

Pameran ICW 2017 meliputi Green Build Asia 2017, Energy Efficeincy Malaysia, Pameran Pembinaan, Pameran Hartanah dan Infrastruktur Asia (asiaREI), Ecolight Asia 2017 dan Solar Asia 2017.

Di samping itu, CIDB dan Ecobuild turut menganjurkan siri seminar mengenai trend terkini dan cabaran dalam industri.

Usaha untuk memastikan generasi pelapis pembinaan negara turut diperhebat menerusi beberapa pertandingan yang keputusannya telah diumumkan semasa ICW 2017, iaitu Pertandingan Idea Terbuka 2017 yang dianjurkan oleh CIDB dengan kerjasama Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) dan Pertandingan Kertas Penyelidikan Kimia untuk siswazah dan pasca siswazah anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM).

Selain itu, sumbangan golongan wanita kepada pembangunan negara turut tidak dipinggirkan menerusi penganjuran Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2017 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) yang berlangsung 11 April, 2017 di MATRADE.

Untuk maklumat lanjut mengenai ICW 2017, sila layari www.icw.my dan Ecobuild 2017 di www.ecobuildsea.com.