Jangan guna logo CIDB tanpa kebenaran!

Dato’ Asri Abdul Hamid

 

KUALA LUMPUR: Awas! Tindakan tegas akan diambil keatas mana-mana pihak yang menggunakan logo CIDB tanpa kebenaran untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka. Ini adalah amaran dari pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata penggunaan logo CIDB tanpa kebenaran itu mengelirukan orang awam dengan memberi gambaran syarikat tersebut menjalankan perniagaan bagi pihak CIDB.

“Hanya anak syarikat CIDB sahaja yang dibenarkan menggunakan logo CIDB.

“Organisasi lain yang ingin menggunakan logo CIDB perlu memohon kebenaran melalui surat atau emel yang disalurkan kepada Bahagian Komunikasi Korporat CIDB,” kata dalam satu siaran akhbar.

Orang ramai juga diminta supaya jangan terpedaya dengan ejen-ejen pendaftaran, mahupun syarikat-syarikat pembinaan yang giat menawarkan perkhidmatan mereka di media sosial dengan menggunakan logo CIDB.

Ahmad ‘Asri berkata CIDB tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk melaksanakan urusan pendaftaran kontraktor bagi pihak CIDB. Kesemua ejen tersebut menawarkan perkhidmatan mereka tanpa melibatkan CIDB.

Ahmad ‘Asri juga menggesa para kontraktor berurusan terus dengan CIDB untuk urusan permohonan atau pembaharuan lesen bagi mengelakkan caj tambahan yang dikenakan oleh orang tengah.

Melalui sistem pendaftaran ‘online’ atau Centralised Information Management System (CIMS), yang diperkenalkan sejak Julai 2017, semua proses pendaftaran boleh dibuat sendiri secara ‘online’.

Jika pelanggan memerlukan bantuan, mereka boleh berurusan terus dengan Pejabat dan Cawangan CIDB di seluruh negara. Sekiranya semua dokumen yang disertakan adalah lengkap, proses permohonan dapat diselesaikan dalam masa dua hari bekerja sahaja.

[Februari 22, 2018]