ICW2017 memaparkan ‘construction design management’

CIDB menganjurkan International Construction Week 2017 dari 10 – 14 April 2017

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia telah melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017 (ICW 2017) pada 13 April 2017.

ICW2017 memberi fokus kepada mencetus perbincangan antara pemimpin berwawasan dalam bidang kualiti dan keselamatan, salah satu teras transformasi industri pembinaan Malaysia.

Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof telah pengerusikan perbincangan meja bulat dengan penggiat industri pada Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa yang julung kali diadakan sempena edisi ICW ke 17.

Mengulas tema ICW 2017 ‘Ke Arah Meningkatkan Kualiti dan Keselamatan Dalam Pembinaan’, Fadillah berkata: “Kualiti dan keselamatan sentiasa dipentingkan dalam industri pembinaan. Di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme merupakan teras strategik pertama dalam agenda transformasi industri. Kualiti dan keselamatan, apabila digabungkan, akan menjadi formula amat berkesan untuk meningkatkan imej dan persepsi industri pembinaan Malaysia di khalayak ramai dan seluruh dunia.”

“Baik pada peringkat antarabangsa dan juga nasional, prestasi industri pembinaan sentiasa diukur berdasarkan pencapaian kualiti dan keselamatan. Bagi Malaysia, yang berada di ambang menjadi negara maju, sudah pasti lebih penekanan perlu diberikan kepada peningkatan prestasi kualiti dan keselamatan ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Sementara itu, Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa memaparkan pembentangan Construction Design Management (CDM) yang merupakan rujukan utama industri pembinaan yang lebih selamat dan berkualiti tinggi.

CDM adalah peraturan mandatori yang dilaksanakan di United Kingdom dan Singapura dengan prinsip Prevention Through Design (pencegahan melalui reka bentuk) di mana setiap pihak dalam proses pembinaan daripada peringkat konsep hingga siap adalah bertanggungjawab untuk kesihatan, keselamatan dan kebajikan projek.

Dengan ini, CDM memastikan risiko kesihatan dan keselamatan dapat dijangka dan diurus pada setiap peringkat proses pembinaan.

“CDM dilaksanakan atas prinsip bahawa untuk mencetus kemajuan dalam prestasi keselamatan dan kesihatan industri pembinaan, setiap stakeholder harus bekerjasama ke arah satu set objektif yang sama.”

“CDM mengakui semua stakeholder dalam proses pembinaan berkongsi tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan dalam seluruh proses. Malah, entiti yang teratas dalam rantaian nilai – klien atau pemilik projek – memegang tanggungjawab utama.”

“Kita mesti memberi komitmen sepenuhnya kepada transformasi industri dengan tahap kualiti dan keselamatan yang lebih tinggi selaras tema ICW 2017,” kata Fadillah.