CITP memperkasakan industri pembinaan Kelantan

Seminar CITP julung kali diadakan di Kelantan

 

KELANTAN: Dalam usaha memacu transformasi industri pembinaan di Kelantan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan seminar Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) buat julung kalinya di negeri tersebut.

Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan CIDB untuk berinteraksi dengan penggiat industri Kelantan bagi meningkatkan kesedaran dalam mengamalkan amalan-amalan baik dan melaksanakan inisiatif-inisiatif berkaitan CITP.

Seminar tersebut, yang diadakan pada 9 Mei, 2017, telah dihadiri oleh penggiat industri pembinaan di Kelantan untuk mengukuhkan lagi komitmen mereka di dalam bidang pembinaan dan secara langsung dapat merealisasikan aspirasi Kerajaan Persekutuan di bawah CITP ke arah industri yang lebih moden, produktif dan mampan.

Industri pembinaan kekal memainkan peranan yang penting sebagai tonggak utama dalam transformasi landskap ekonomi negeri Kelantan. Pada tahun 2016, sejumlah 114 projek pembinaan bernilai RM1.5 bilion telah dan sedang dilaksanakan di Kelantan.

Daripada jumlah tersebut, 27.1 peratus merupakan projek infrastruktur, 26.9 peratus adalah projek perumahan, 9.3 peratus adalah projek kemudahan sosial, manakala 57.6 peratus lagi adalah projek-projek bangunan bukan perumahan.

Dari segi modal insan, sektor pembinaan menggunakan kira-kira 15 peratus pengeluaran pembuatan negara dan menyumbang 9.5 peratus tenaga kerja dengan sejumlah 1.2 juta pekerja berdaftar.

Mengikut statistik rasmi, 75 peratus adalah warga tempatan termasuk ahli profesional seperti jurutera, arkitek dan juruukur, menunjukkan sektor tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keseluruhan tahap pendapatan rakyat.

“Dalam tahun 2016, terdapat sejumlah 6,305 projek pembinaan dengan nilai sebanyak RM166.4 bilion di Malaysia dan ini sekali lagi, mencerminkan magnitud dan impak sektor pembinaan dalam negara.

“Oleh itu, kena pada masanya untuk kami menggerakkan para penggiat industri di Kelantan pula supaya menerima pakai CITP dan meningkatkan standard industri pembinaan,” ujar Sariah Abdul Karib, Pengurus Besar Kanan, Sektor Korporat dan Bisnes CIDB.

“Negeri Kelantan sedang membangun dengan pesat hasil kesungguhan Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi seperti pembangunan Pelabuhan Tok Bali, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).”

“Oleh itu, kami gembira melihat para penggerak industri di Kelantan menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan CIDB dalam usaha mentransformasi industri pembinaan negara,” tambah beliau lagi.