CIDB keluar 105 notis kesalahan

CIDB keluar 105 notis kesalahan, rampas 27 kad personel binaan palsu

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan 105 notis kesalahan terhadap sebuah projek pembinaan di sekitar Lembah Klang dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) pada 26 Mei.

Dalam operasi itu CIDB turut merampas 27 kad pemerakuan personel binaan palsu, selain menyita sebanyak 23 dokumen bagi membantu siasatan mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan merangkap ketua OPB, Suhaimi Mansor, kesemua notis itu adalah kesalahan membabitkan pendaftaran, akreditasi dan latihan personel binaan.

“Seramai 230 orang pekerja yang terdiri daripada pelbagai warganegara telah diperiksa dan didapati 27 daripada mereka iaitu Indonesia (13), Bangladesh (9), tempatan (4) Vietnam (1) memegang kad pemerakuan personel binaan yang palsu.”

“Dalam hal ini, CIDB mengambil tiga keterangan disamping telah membuat laporan polis untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

OPB yang melibatkan 23 anggota penguatkuasa CIDB cawangan ibu pejabat, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka selain 44 anggota Rela, adalah hasil darpada risikan pasukan penguatkuasa CIDB yang dibuat pada awal Mei lepas.

Adalah menjadi satu kesalahan kepada penyelia tapak binaan atau pekerja binaan mahir yang melakukan kerja-kerja di tapak binaan tanpa terlebih dahulu diakriditasi dan diperakukan oleh CIDB.

Sesiapa yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran sah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000. Denda yang sama juga dikenakan kepada sesiapa yang mengambil pekerja yang tidak diakriditasikan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

Bagi kontraktor yang gagal untuk mendaftar dengan CIDB, mereka boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 mengikut Seksyen 25 jika disabitkan bersalah.