AWAS! Individu menyamar pegawai penguasa CIDB

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan agar semua kontraktor binaan di seluruh negara berwaspada dengan individu-individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB.

CIDB menerima laporan daripada seorang kontraktor yang telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB.

Individu tersebut telah meminta sejumlah wang dengan alasan bahawa ia adalah untuk menyelesaikan masalah pekerja asing syarikat tersebut.

Modus operandi baru sindiket penipuan ini adalah mengenal pasti syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan kemudian menghubungi pengurus projek binaan tersebut dengan menyatakan mereka mempunyai bukti tentang kesalahan yang dilakukan syarikat berkenaan.

Individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB itu kemudiannya mengarahkan kontraktor terbabit supaya mengeluarkan sejumlah besar bayaran, kononnya untuk meluluskan permohonan segera Kad Hijau pekerjanya atau dikenakan kompaun lebih tinggi mengikut Akta 520 (Pindaan 2011) CIDB.

Di dalam kes ini, syarikat kontraktor tersebut mengambil langkah bijak untuk merujuk perkara ini terus kepada CIDB.

CIDB mengingatkan kontraktor dan personel binaan bahawa sebarang pembayaran kepada CIDB hanya boleh dilakukan di kaunter pejabat negeri atau cawangan CIDB ataupun melalui akaun CIDB.

Sekiranya digesa menerima panggilan daripada mana-mana individu yang mencurigakan, kontraktor diminta mendapatkan butir-butir lanjut pemanggil seperti nama penuh pemanggil, nombor telefon, alamat pejabat dan maklumat lain yang dianggap penting sebagai pengesahan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi CIDB Careline di 1 300 88 2432 (CIDB) atau CIDB cawangan negeri terdekat untuk membuat pertanyaan atau pengesahan.